Banjir kilat dan hakisan Teluk Intan

  • 1877: Hugh low telah mengesan masalah hakisan di Teluk Intan yang merosakkan dermaga-dermaga dan bangsal-bangsal yang menyimpan bijih timah .
  • 1902: Majlis Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) melaporkan hakisan tebing sungai dan landasan kereta api terjejas akibat banjir dan banjir kilat. Likuan sungai semakin sempit.

Banjir atau banjir kilat kerap berlaku di Teluk Intan kecuali selepas Empangan Temenggor dibina. Hal ini kerana kedudukan muka bumi bandar yang rendah, berhampiran dengan laut yang menyebabkan air pasang melimpah ke sini. Hujan lebat pada bulan Oktober hingga Januari menyebabkan sungai tidak dapat menampung air hujan yang banyak dari hulu Sungai Perak. Tambahan pula, muka bumi Teluk Intan hampir putus, menyerupai pulau dan tempat likuan dua sungai iaitu Sungai Perak dan Sungai Bidor.

Hakisan aliran sungai menyebabkan tanah merebak ke dalam sungai terutama pada musim tengkujuh. Sungai Perak semakin berliku. Universiti Sains Malaysia dan Kerajaan negeri Perak telah membuat kajian bagi mengenal pasti masalah dan mengemukakan cadang bagi mengatasinya.

Banjir kerap berlaku terutama di Jalan Wah Khen Jooi dan Jalan Bandar. Majlis Perbandaran Teluk Intan telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengatasi masalah ini dengan memperbaiki sistem parit dan longkang yang lebih dalam dan teratur di Pasir Bedamar dan di Durian Sebatang agar masalah ini tidak berulang setiap tahun.